Saturday, August 21, 2010

PENCEMARAN TANAH


        Apakah yang dimaksudkan dengan pencemaran? Menurut Akta Kualiti Alam sekitar 1974, pencemaran adalah sebarang bentuk pencemaran yang berlaku sama ada secara langung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, dan biologi dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan sehingga memberi kesan negatif terhadap manusia, tumbuhan dan haiwan. Pencemaran tanah bermaksud sesuatu bahan yang telah mengakibatkan sesuatu tanah atau kawasan mengalami perubahan warna, kesuburan dan mengalami hakisan. Pencemaran tanah berlaku disebabkan bahan buangan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik, kimia atau fizik. Jika sesuatu kawasan atau tanah telah kehilangan kesuburan, tanah tersebut akan bertukar warna menjadi kehitaman manakala, tumbuh-tumbuhan di kawasan tersebut akan pula menjadi layu.
         Terdapat pelbagai punca berlakunya pencemaran tanah disesuatu tempat atau kawasan. Salah satu punca pencemaran tanah ialah pembuangan bahan-bahan daripada industri seperti minyak, sisa toksik dan sisa-sisa dari kilang. Bahan-bahan buangan ini menyebabkan tanah hilang kesuburan. Sikap pemilik kilang yang umpama “penyagak alam sekitar” telah menyebabkan berlakunya pencemaran tanah. Sampah sarap yang dibuang dimerata-rata tempat seperti surat khabar, bahan plastic dan bahan kaca turut menyumbang ke arah pencemaran ini. Pembuangan sampah seperti bahan plastik mengeluarkan bahan kimia yang akan sebati di dalam tanah. Bahan seperti plastik dan kaca merupakan bahan yang mengambil masa berjuta tahun untuk lupus. Pengguna racun serangga secara berlebih-lebihan juga merupakan punca pencemaran tanah. Hal ini demikian kerana, semburan racun serangga akan menyerap ke dalam tanah dan akan menyebabkan pencemaran tanah. Aktiviti pembangunan yang dilakukan oleh manusia seperti penebangan pokok memburukkan lagi pencemaran tanah sehingga menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.
           Kesan buruk yang akan berlaku disebabkan pencemaran tanah ialah tanah tidak sesuai lagi untuk menjalankan aktiviti pertanian kerana bahan kimia dari bahan buangan akan membunuh tumbuhan yang ditanam. Selain itu, senjata nuklear yang diuji oleh negara-negara barat turut mengancam kualiti tanah dunia. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan tanah tidak subur malah, tanah turut menyimpan bahan radioaktif  yang mampu membunuh manusia secara perlahan. Di samping itu, pembuangan sampah dimerata-rata tempat turut mengundang kedatangan serangga dan haiwan pembawa penyakit seperti tikus atau lalat. Secara tidak langsung, serangga dan haiwan pembawa penyakit boleh memudaratkan kesihatan manusia seperti penyakit taun. Pencemaran tanah turut memberi impak ke atas aktiviti harian manusia. Jika terdapat banyak tempat yang telah dicemari, manusia mungkin tidak akan berpeluang untuk melihat keindahan alam ini lagi.
          Langkah-langkah mengatasi pencemaran ini perlu dilakukan bagi memelihara alam sekitar. Beberapa langkah untuk mengatasi pencemaran tanah ialah kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang. Pihak berkuasa juga perlu sentiasa membuat pemantauan agar kegiatan mencemar tanah dapat dikawal. Selain itu, masalah pencemaran tanah dapat diatasi dengan menggunakan teknologi moden. Dengan adanya teknologi moden, sisa pepejal seperti bahan plastik dan bahan kaca dapat dikitar semula untuk dijadikan sesuatu barang yang berfaedah. Bahan buangan pertanian pula boleh diubah atau dikitar kepada bahan yang berguna. Sebagai contoh, hampas kelapa sawit boleh diproses untuk dijadikan metana. Selain itu, pendidikan alam sekitar merupakan cara terbaik utuk memupuk kesedaran rakyat tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar.
          Kesimpulannya, masalah pencemaran tanah berpunca dari perbuatan manusia. Oleh itu, masalah ini memerlukan kerjasama dari pelbagai pihak untuk mengatasinya agar dapat memelihara alam sekitar.


NUR DIYANA HASINAH BINTI SAHROM  (205260)

No comments:

Post a Comment